Thursday, 8 November 2012

Penduduk Kionsom kembali resah

by Vitalis G. Bingkasan. Posted on November 8, 2012, Thursday
Dialog antara pendudukan Kampung Kionsom Inanam, jabatan dan agensi kerajaan serta pengusaha kuari sedang berlangsung di Dewan Mini Kionsom kelmarin.
KOTA KINABALU: Penduduk Kg Kionsom Inanam sekali lagi resah dengan usaha membuka semula operasi kuari oleh sebuah syarikat baru di Kg Kiukad di ulu kampung berkenaan.
Beberapa wakil penduduk kampung menyuarakan keresahan mereka semasa sesi dialog bersama pengusaha kuari dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan di Dewan Mini Kionsom kelmarin.
“Kuari itu pernah beroperasi sebelum dibantah penduduk kampung dan ditutup kira-kira lapan tahun lalu. Kami juga telah membantah beberapa aktiviti lain yang melibatkan pengusikan tanah di bahagian ulu kampung ini.
“Pengusikan tanah di bahagian hulu kampung ini telah menyebabkan beberapa bencana termasuk pencemaran sungai, banjir kilat dan banjir lumpur, kejadian yang tidak pernah berlaku sebelum adanya aktiviti mengusik tanah di bahagian ulu.
“Sekarang ini ia adalah pengusaha baru yang ingin membuka semula kuari itu. Kami tidak yakin adanya cara bagi mengelakkan kejadian yang pernah melanda kami dapat dielakkan.
“Sebab itu kami meminta pihak yang terlibat dengan proses meluluskan lesen membuka semula kuari ini benar-benar mengambil kira keresahan kami,” kata salah seorang penduduk ketika ditemui semasa dialog itu.
Turut dibangkitkan semasa dialog adalah kerisauan jalan raya kampung yang juga akan menjadi laluan ke kuari berkenaan akan rosak selain pencemaran alam sekitar jika kuari itu beroperasi.
Beberapa penduduk kampung malahan bertegas dengan pendirian tidak bersetuju pembukaan semula kuari tersebut.
“Setelah apa yang telah berlaku sebelum ini, sebarang aktiviti melibatkan pembukaan tanah apalagi kuari di kawasan ulu itu perlu ditegah.
“Kami akan buat bantahan susulan dengan mengumpul tandatangan penduduk kampung selepas ini,” kata salah seorang lagi penduduk kampung.
Sambil itu, beberapa wakil agensi kerajaan seperti Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Jabatan Pengairan dan Saliran memberitahu bahawa pihak mereka belum menerima permohonan atau laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) mengenai pembukaan semula kuari itu.
“Pihak pengusaha perlu memenuhi semua syarat termasuk EIA sebelum dibenarkan beroperasi. Keresahan yang disuarakan penduduk kampung memang merupakan antara perkara yang akan diambil kira dalam laopran EIA itu.
“Sebab itu, walaupun apabila mereka telah ada laporan EIA, belum tentu ianya akan diluluskan atau tidak oleh pihak kami,” pegawai Jabatan Perlindungan Alam Sekitar berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Pan Su Khiong pula menegaskan agar pandangan penduduk kampung diambil kira sepenuhnya.
“Apa yang kami mahu adalah jaminan bahawa bencana tidak akan berlaku ke atas kami jika kuari ini beroperasi. Kami juga mahu ada yang bertanggungjawab.
“Hanya mengambil tindakan selepas bencana berlaku tidak memadai kerana ketika itu kerosakan sudah berlaku dan biasanya kerosakan itu sama ada harta benda atau alam sekitar sudah tidak boleh diperbaiki semula,” katanya.
Dialog itu dipengerusikan Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR), Kalasa Alaska Sahat yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Inanam, Datuk Johnny Goh.


Read more: http://www.theborneopost.com/2012/11/08/penduduk-kionsom-kembali-resah/#ixzz2Bd0BeNH8

No comments: